Halaman

Khamis, 25 Julai 2013

Menjaga Luka Episiotomi, akibat melahirkan - Dr Zubaidi


 Episiotomi adalah teknik memotong di bahagian kemaluan yang dinamakan perineum, terletak di antara faraj dan lubang dubur, ketika kepala bayi sedang keluar dari faraj. Pada masa dahulu, doktor sering melakukan secara rutin, apabila mereka menyambut kelahiran kelahiran bayi yang dilahirkan secara normal melalui faraj.

Di kebanyakkan negara maju,  episiotomi tidak lagi dilakukan secara rutin. Doktor dan bidan di kebanyakan negara Eropah (kecuali Poland dan Bulgaria), Australia, Canada dan Amerika Syarikat tidak lagi mengamalkan  episiotomi secara ritun dan hanya melakukannya sebagai pilihan terakhir.

Dalam satu kajian di Amerika Syarikat mendapati pada tahun 1973, seramai 31% wanita yang melahirkan anak di hospital di sana tidak menerima  episiotomi dan bilangannya menjadi 56% pada tahun 1979. Ini bermakna  episiotomi semakin kurang di lakukan.

Luka episiotomi sukar dijaga. Namun melakukan episiotomi dapat mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.

Kemudaratan yang lebih besar boleh berlaku ketika bayi mula keluart dari faraj, regangan pada bahagian ini menyebabkan koyakan dan luka berlaku tanpa kawalan. Ini dinamakan perineal tear.

Jika luka ini melibatkan saluran darah, ia menyebabkan pendarahan yang banyak. Luka yang berlaku akibat koyakan yang tidak di kawal boleh berpanjangan sehingga ke lubang dubur, menyebabkan luka yang besar dari faraj ke lubang dubur.

Oleh itu koyakan yang besar dan pendarahan yang banyak cuba dielakkan dengan menggunting bahagian perineum agar luka ini lebih kecil dan terkawal. Inilah tujuan melakukan episiotomi. Bayi juga dapat dikeluarkan secara cepat dan selamat.



Sesetengah doktor yang berpengalaman cuba mengelak dari melakukan episiotomi  kerana luka ini menyakitkan, boleh menyebabkan rasa sukar membuang air besar dan kencing, serta lukanya lambat sembuh. Ia adalah pilihan terakhir bagi mengeluarkan bayi yang besar, dan sukar dikeluarkan.

Episiotomi boleh dielakkan jika doktor wanita yang menyambut kelahiran bayi melakukan renggangan  pada bahagian faraj. Teknik ini di namakan vaginal swap atau perineal massage dimana doktor akan memasukkan dua jari ke dalam faraj dan merenggangkannya. Ini membantu otot faraj menjadi lebih relaks sebelum kepala bayi keluar melaluinya.

Luka episiotomi selalunya akan dijahit bagi merapatkan semua tisu yang telah terkoyak dan ini mempercepatkan penyembuhan luka. Jika wanita yang melahirkan bayi tadi tidak diberikan epidural analgesia, maka doktor akan memberikan suntikan bius pada luka tersebut sebelum menjahitnya. Jika bius yang diberikan tidak mencukupi, beritahulah doktor agar lebih banyak suntikan bius dapat diberikan.

Namun begitu, proses penyembuhan luka episiotomi yang selalunya lebih sukar untuk sembuh kerana kawasan luka itu basah dan 'lebih kotor'.

Antara langkah yang boleh dilakukan untuk mempercepatkan penyembuhan ialah :


  1. Letakkan pek ais pada luka yang dijahit. Ais akan menyebabkan kawasan disekitar luka menjadi 'rasa kebas' dan ini mengurangkan sakit serta mengurangkan bengkak.
  2. Rendamkan punggung ke dalam basin yang berisi air suam dan campurkan sedikit larutan antiseptic bagi membasuh kekotoran disekitar luka.
  3. Jika berpeluang bersendirian dalam bilik, dedahkan luka agar mudah dikeringkan. Untuk itu pastikan kipas dibuka untuk memastikan peredaran udara yang baik. 
  4. Jangan terlalu lama duduk atau terlalu lama berdiri. Luka yang sedang sembuh mudah membengkak apabila seorang wanita tidak cukup atau berbaring terlalu lama. Cuba sesekali bangun dan berjalan-jalan di dalam bilik untuk membantu penyembuhan.
  5. Jika luka kelihatan berair atau mengeluarkan air yang jernih, boleh masukkan kain kasa yang bersih ke tempat yang luka. Jika kering dan tidak berair, tidak perlu dimasukkan kain kasa. Jika kawasan itu mengeluarkan lendiran yang berbau busuk atau nanah atau darah, harus berjumpa doktor ubtuk pemeriksaan lanjut.
  6. Jika rasa sakit dan tidak selesa atau mungkin rasa demam, bolehlah menelan ubat Paracetamol 500mg setiap 6 jam. Jika tidak mengalami sakit, ubat perlu di elakkan terutama jika menyusukan anak.
  7. Luka episiotomi dijangka akan sembuh antara 2 minggu hingga sebulan. Benang jahitan pada luka tidak perlu ditanggalkan oleh doktor kerana ia akan tanggal sendiri. Jika luka masih tidak sembuh selepas sebulan atau mengeluarkan nanah, berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan.
Jika tidak pasti sama ada luka telah sembuh atau tidak, boleh berjumpa doktor untuk pemeriksaan setelah habis waktu pantang atau selepas enam minggu dari waktu melahirkan anak.

Apabila telah sembuh dan darah nifas telah telah kering, maka bolehlah menjalankan hubungan intim bersama suami. Berterus terang kepada suami jika tidak merasa selesa atau sakit.

Rasa tidak selesa dan rasa kekeringan adalah antara rungutan yang selalu ditanyakan kepada saya.  Saya mencadangkan gunakanlah pelincir K-Y Jelly. Ini akan menyebabkan faraj lebih lincin dan tidak menyakitkan.

Perasaan tidak selesa ini juga dapat dikurangkan dengan bersikap tenang ketika bersama suami. Mandilah dengan air suam sebelum bersama suami untuk melembutkan otot tubuh dan lakukan mukadimah jimak (foreplay) pada kadar yang lebih lama supaya lendiran faraj keluar secukupnya. Ubahlah kedudukan dan posisi bagi mengelakkan rasa sakit dan tidak selesa.

Wallahu a'lam

sumber : Dr Zubaidi Hj Ahmad


Tiada ulasan: